Friday 28 October 2011

PAS Perak seru ahli ke Sambutan 60 Tahun

 Ipoh 28 Okt: PAS Perak menyeru semua ahli di negeri ini turun ke program Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat negeri yang akan diadakan esok hingga 30 Oktober di Masjid Tinggi, Bagan Serai.
Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir berkata, program itu amat penting untuk menyuntik semangat ahli untuk menawan kembali Perak pada PRU-13 nanti.
“Saya sebagai pengarah program menyeru semua ahli di seluruh negeri Perak supaya turun ke program ini bagi memeriahkan lagi sambutan yang julung-julung kalinya diadakan ini,” tegasnya.
Sambutan akan dihadiri oleh pimpinan utama termasuklah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu, dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelbagai program yang akan diadakan diadakan seperti Konvensyen Negara Berkebajikan, wacana kemerdekaan, gerai jualan, pameran sejarah, sukan Pasti dan sukan rakyat, pertandingan pidato, persembahan kesenian rakyat dan banyak lagi.

Saksikan slot terakhir movie 'Gua Ikut Enta'

Friday 21 October 2011

TAHNIAH KETUA CAWANGAN MENYAMBUT KELAHIRAN

Alhamdulillah ,Tahniah kepada Ustaz Mohd Faisal dan Ustazah Diyana kerana telah di kurniakan seorang lagi puteri comel seberat 3.2 kg (lebih kurang). Bayi dilahirkan pada jam 11.40 malam 20 Oktober 2011. Lepas ni bertambah cerialah keluarga ustaz dengan bertambahnya ahli baru dalam keluarga :) semoga puteri nya bakal menjadi mujahidah yang terbilang suatu hari nanti InsyaAllah Amin.

Tuesday 18 October 2011

Hutang negara mencecah RM437.2 bilion


Hutang negara mencecah RM437.2 bilion
Hutang kerajaan persekutuan mencecah RM437.2 bilion atau 52.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga 30 Jun tahun ini.

Angka yang mengerunkan itu diperoleh daripada jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada soalan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok yang meminta menteri kewangan menyenaraikan negara luar yang memberi hutang kepada Malaysia.

azlanDaripada jumlah berkenaan, sebahagian besar hutang kerajaan adalah daripada hutang dalam negara yang berjumlah RM421 bilion atau 96.3 peratus daripada keseluruhan hutang.

Manakala bakinya RM16.2 bilion atau 3.7 peratus merupakan hutang luar negara.

Dewan Rakyat juga diberitahu bahawa sumber hutang, pinjaman dalam negara itu diperolehi melalui terbitan Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan Kerajaan (TPK), Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), pinjaman Kumpulan Pinjaman Perumahan dan terbitan Sukuk Simpanan Rakyat serta Sukuk 1Malaysia.

Dalam pada itu hutang luar negara kerajaan persekutuan pula diperoleh daripada sumber pasaran modal antarabangsa melalui terbitan sukuk global dan pengeluaran pinjaman projek melalui institusi multilateral seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam serta bilateral dalam mata wang asing iaitu Dolar Amerika Syarikat, Yen, Dolar Euro, Dolar Kanada serta Dinar.

Pemegang instrumen berkenaan terdiri daripada institusi kewangan, syarikat insurans dan pertubuhan keselamatan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Wednesday 5 October 2011

Hudud: Majlis Fatwa digesa bertindak

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengambil tindakan segera membendung pihak-pihak tertentu khususnya kenyataan pemimpin yang beragama Islam yang telah memberikan tafsiran tentang undang-undang hudud mengikut selera pemahaman masing-masing tanpa merujuk kepada ulama-ulama yang muktabar.

Demikian ditegaskan Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din ketika mengulas keberanian pihak-pihak tertentu yang mengulas berkenaan hudud tanpa suluhan ilmu dan nasihat daripada para ulama Islam yang muktabar.

“Apa yang kita bimbangkan sekarang ialah keberanian pihak-pihak tertentu khususnya yang beragama Islam memberikan tafsiran yang tidak tepat berkenaan hudud, akhirnya orang-orang bukan Islam keliru dengan hukum hudud ini, ”kata beliau.

Beliau merujuk laporan Bernama yang menyatakan bahawa MCA menolak hukuman hudud kerana ianya bercanggah dengan kebebasan beragama dan hak asasi individu.

“Kita memahami mengapa orang bukan Islam menolak hudud bahkan penolakan mereka sebahagiannya mungkin berkaitan isu-isu teknikal seperti pertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi apa yang kita bimbang ialah ulasan dan pandangan yang diberikan oleh pemimpin yang beragama Islam itu sendiri, tanpa panduan yang jelas daripada ulamak yang muktabar, ianya dibimbangi akan memberikan kesan perspektif yang negatif di kalangan bukan Islam,” tambah beliau lagi.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai satu institusi yang disanjung oleh umat Islam di Malaysia hendaklah mengeluarkan satu kenyataan untuk memberikan penjelasan berkenaan dengan undang-undang hudud.

“Diharap dengan penjelasan ini akan memberikan ingatan kepada pihak-pihak tertentu agar berhati-hati sebelum memberikan sebarang ulasan berkenaan isu agama kecuali setelah mendapat bimbingan dan panduan daripada ulamak yang muktabar,” ujar beliau lagi.